SELAMAT DATANG KE PORTAL 10 RRD

Perlawanan Akhir Piala Sarawak 2014 Perbarisan Tadbir Tahunan 2013 Hari Tentera Darat Ke-82 Kejohanan Renang dan Polo Air TD 2015 Hari Bersama Media 2014 Penutup Ex Satria Tangkas 2014

Jumaat, 26 September 2014

PERTANDINGAN AKHIR PIALA SARAWAK

Menteri Muda Pembangunan Belia, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman bergambar bersama pemain ATM Sarawak
Stadium Negeri Sarawak, Kuching : Kecemerlangan tim bola sepak 10 RRD yang juga dikenali sebagai pasukan ATM Sarawak dalam kancah arena bola sepak di negeri Sarawak ini memang tidak dapat dinafikan lagi. Pada tahun 2012 yang lalu, tim ATM Sarawak ini telah beraksi di pentas akhir tetapi kecundang apabila tewas kepada pasukan Kuching pada ketika itu. Dalam saingan Piala Sarawak 2014 baru-baru ini, tim ATM Sarawak telah mengulangi kecemerlangan tersebut apabila berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir menentang pasukan Samarahan apabila berjaya menjinakkan pasukan SUKMA 2016 dengan jaringan 2 berbalas 1 dalam saingan separuh akhir di Stadium Mini UNIMAS, Sarawak pada 26 Sep 2014 yang lepas.

Dalam perlawanan akhir Piala Sarawak 2014 yang dilangsungkan di Stadium Negeri Sarawak pada malam 27 Sep 2014 yang lepas, pasukan ATM Sarawak telah berusaha bersungguh-sungguh sebelum terpaksa akur dengan kekalahan tipis 1 berbalas 0 menentang pasukan Samarahan. Bekas bintang bola sepak Sarawak, Mohd Hadera Bakri menjadi pemusnah pasukan ATM Sarawak apabila beliau menjaringkan gol kemenangan Samarahan pada minit ke 51 menerusi tandukan kemas bola sepakan sudut daripada rakan sepasukan.

Pegawai Memerintah 10 RRD, Lt Kol Ismail Nasaruddin bin Yeop selaku Presiden ATM Sarawak berasa sangat bangga dengan pencapaian dan persembahan yang ditunjukkan oleh semua pemain dan beliau berharap untuk memperbaiki pencapaian ini pada pertandingan yang akan datang. Beliau juga mengucapkan syabas kepada pengurus tim, Mej Anuar bin Ahmad dan jurulatih tim, SSjn Akob bin Dawat kerana telah berjaya membentuk dan melatih pemain-pemain hingga berjaya mencapai kejayaan seperti yang dikecapi sekarang. Pasukan ATM Sarawak telah membawa balik hadiah piala dan wang tunai berjumlah RM 7,500.00 selaku naib johan perlawanan.

Upacara penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Sosial, Yang Berhormat Tan Sri William Mawan Ikom. Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut adalah Menteri Muda Pembangunan Belia, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman dan Ketua Staf Am Pemerintahan Timur, Brig Jen Abdul Rahim bin Sebeli.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan